Blockchain Malaya Logo
kripto

Apa itu Inflasi?

Macam mana inflasi pengaruhi hidup anda

Apa itu kadar inflasi?
Oleh KC pada 10/19/2024, 3:54:04 PM

Apa itu inflasi?

Inflasi merupakan kehilangan kuasa beli perlahan-lahan, dicerminkan dalam kenaikan harga yang meluas bagi barangan dan perkhidmatan.

Inflasi sentiasa menjadi kebimbangan ramai, tapi berapa lama akan inflasi berterusan?

Dari tahun 2020 hingga 2024, kadar inflasi Malaysia beralih dari deflasi pada 2020 (-1.2%) yang disebabkan oleh wabak Covid, kepada inflasi yang memuncak pada 3.3% pada 2022, dan kini dijangka stabil pada paras 2.5% pada 2024. Walaupun begitu, kadar inflasi yang lebih rendah tidak bermakna harga lebih rendah daripada sebelumnya.

Inflasi merujuk kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara meluas, menghakis kuasa beli untuk penggua dan perniagaan. Teori ekonomi menunjukkan bahawa tempoh inflasi yang berpanjangan sebahagian besarnya disebabkan oleh dasar monetari mudah, dalam kata lain, apabila bank pusat sesebuah negara menetapkan kadar faedah terlalu rendah, ataupun meningkatkan bekalan wang terlalu cepat.

Dari 2020 hingga 2024, bekalan wang Malaysia (M3) berkembang dengan pesat daripada 4.5% pada 2020 kepada 6.5% pada 2021, juga disebabkan oleh tempoh pandemik Covid. Pada 2024, kadar ini turun dan kini disekitar 3.5%, menunjukkan peralihan posisi Bank Negara kepada polisi yang lebih ketat.

Macam mana inflasi dikira?

Di Malaysia, inflasi dikira menggunakan Indeks Harga Pengguna (CPI), yang menjejaki perubahan harga sekumpulan barangan dan perkhidmatan yang biasa digunakan oleh isi rumah. . Agensi statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), mengukur inflasi terlebih dahulu dengan menentukan nilai semasa "bakul" pelbagai barangan dan perkhidmatan yang digunakan oleh isi rumah, dirujuk sebagai indeks harga.

Kadar inflasi ialah peratusan perubahan dalam CPI dari semasa ke semasa. Untuk mengira kadar inflasi dari semasa ke semasa, ahli statistik membandingkan nilai indeks dalam satu tempoh dengan yang lain. Membandingkan satu bulan dengan bulan lain memberikan kadar inflasi bulanan, dan membandingkan dari tahun ke tahun memberikan kadar inflasi tahunan.

Macam mana inflasi pengaruhi hidup anda?

Bagi pengguna, tidak hairan inflasi tinggi dicerminkan dalam bil harian, daripada barangan runcit kepada utiliti, serta bayaran kereta dan rumah yang lebih tinggi. Inflasi turut memberi kesan kepada perniagaan dan syarikat, yang sering kali akan dicaj kepada pengguna juga.

Syarikat kehilangan kuasa beli dan berisiko margin mereka menurun. Ini boleh termasuk bahan mentah seperti arang batu dan minyak mentah, produk perantaraan seperti tepung dan keluli, dan jentera siap. Sebagai tindak balas, syarikat biasanya menaikkan harga produk atau perkhidmatan mereka untuk mengimbangi inflasi, bermakna pengguna menyerap kenaikan harga ini.

Cabaran bagi kebanyakan syarikat adalah untuk mencapai keseimbangan yang betul antara kenaikkan harga untuk menampung kenaikan kos mereka, pada masa yang sama memastikan mereka tidak menaikkan harga sehingga menekan permintaan pelanggan.

Tetapi inflasi tidak semestinya buruk. Dalam ekonomi yang sihat, inflasi tahunan biasanya berada dalam 2%, yang dianggap oleh pakar ekonomi sebagai tanda kestabilan harga. Apabila inflasi berada dalam lingkungan ini, ia boleh merangsang perbelanjaan dan dengan itu merangsang permintaan dan produktiviti apabila ekonomi perlahan. Tetapi apabila inflasi mula melepasi pertumbuhan gaji, ia boleh menjadi tanda amaran ekonomi yang sedang bergelut.

Apa yang menyebabkan inflasi?


Dasar monetari adalah punca kritikal inflasi dalam jangka panjang. Kadar inflasi semasa yang tinggi adalah hasil daripada peningkatan bekalan wang, kos bahan mentah yang tinggi, gangguan bekalan, dan kadang-kadang konflik geopolitik.

Secara am, terdapat dua punca utama, inflasi jangka pendek:

Inflasi bekalan dan permintaan berlaku apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan melebihi keupayaan ekonomi untuk menghasilkannya. Sebagai contoh, kekurangan bekalan semikonduktor menyebabkan industri kereta sukar untuk memenuhi permintaan kereta baru. Kekurangan kenderaan baharu seterusnya mengakibatkan kenaikan harga bagi kereta baharu dan terpakai.

Inflasi kos berlaku apabila kenaikan harga barang dan perkhidmatan input meningkatkan harga barang dan perkhidmatan akhir. Contohnya, harga komoditi melonjak secara mendadak semasa pandemik akibat perubahan dalam permintaan, corak pembelian, kos perkhidmatan dan persepsi nilai dalam industri. Untuk mengimbangi inflasi, syarikat perindustrian terpaksa menaikkan harga untuk pengguna akhir.

Macam mana mengatasi inflasi?

Adalah pengetahuan umum, wang dalam bank akan rugi dengan inflasi. Dan selalunya, kenaikan gaji tidak sepadan dengan kadar inflasi.

Untuk memerangi inflasi, kita harus melengkapkan diri dengan pengetahuan kewangan, pengetahuan pelaburan, dan terus meningkatkan kemahiran diri dan sentiasa terbuka untuk belajar.

Terdapat banyak peluang pelaburan, tetapi seseorang harus sentiasa berhati-hati dengan penipuan, dan memahami sepenuhnya risiko yang datang dengan setiap produk pelaburan.

Nasib baik Malaysia mempunyai banyak inisiatif kerajaan dan swasta seperti KWSP, ASNB, PRS, dan banyak lagi. Sudah tentu ada yang lebih berisiko seperti pasaran saham dan kripto seperti Bitcoin. Seseorang harus sentiasa melakukan penyelidikan mereka tentang sebarang produk kewangan, mengetahui risikonya, sebelum melabur, atau berbincang dengan penasihat kewangan berlesen.

Anda mungkin suka